Proses penceraian bagi pasangan Islam di Selangor kini dipermudah dan dapat diselesaikan hanya dalam tempoh enam jam.

Menerusi kaedah Kes Cerai 'Fast Track' yang diperkenalkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS), pasangan yang bersetuju untuk bercerai tidak lagi perlu menunggu 90 hari bagi menyelesaikan kes penceraian mereka.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr Mohd Na'im Mokhtar menjelaskan, pelaksanaan sistem itu sejak Jun lalu, bukan untuk menggalakkan penceraian sebaliknya mempercepat proses penceraian yang difailkan demi kepentingan kedua-dua pihak.

“Jadi dalam tempoh 90 hari tersebut banyak perkara yang mungkin berlaku. Contohnya berlaku penderaan dalam tempoh 90 hari tersebut.

“Walaupun kedua-dua pihak telah setuju pada asal, namun mungkin berlaku perubahan niat asal bagi pihak yang setuju bagi bercerai dengan cara yang baik pada hari sama.

“Maka, ia ditangguhkan, kerana dalam tempoh 90 hari itu boleh berlaku pelbagai perubahan dalam permohonan asal.

Mohd Na’im berkata demikian selepas menyaksikan Pelancaran Kes Cerai Fast Track di Bangunan Mahkamah Syariah Selangor di Shah Alam pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Na'im turut menjawab persoalan punca kelewatan pengurusan proses penceraian.

“Bila pihak suami yang ingin lafazkan talak. dan ada pihak sama ada suami atau isteri enggan bercerai. Jadi kengganan pihak terlibat menyebabkan kes itu dibicarakan.

“Jadi bila kita sebut tempoh bicara ada dakwaan isteri didakwa oleh suami, jadi itu ada dakwaan penderaan yang dinafikan oleh suami itu tadi.

Mohd Na'im turut mengakui pihaknya sering menerima permohonan penceraian pasangan di bawah umur 40 tahun serta tempoh perkahwinan yang kurang dari lima tahun.

Sementara itu, kerajaan Selangor terus komited bagi menurunkan kadar penceraian di negeri itu yang mencatatkan pendaftaran penceraian tertinggi di negara ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya turut memikirkan untuk melaksanakan kursus atau seminar pasca perkahwinan dalam usaha menyelesaikan kemelut itu.

Menurutnya, perkahwinan bukan sekadar entiti mahupun status sebaliknya tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.

“Berlaku penceraian seawal selepas anak pertama atau beberapa tahun selepas itu. Kalau ini dapat kita perkukuh bermakna ada keterlibatan inisiatif daripada kerajaan negeri.

“Dalam pasca perkahwinan ini saya kira ia secara tidak langsung dapat membantu memperkukuh institutsi perkahwinan itu sendiri selain daripada program-program ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Pendaftaran penceraian di Selangor terus menunjukkan trend peningkatan apabila pada 2013, 19,932 kes didaftarkan manakala pada 2014, 22,230 kes didaftarkan.

Kes Cerai 'Fast Track' ini adalah satu projek aktiviti fokus utama JAKESS menerusi cetusan idea hakim-hakim syarie yang mencari inisiatif langkah-langkah strategik penyelesaian kes syariah.

Bermula Jun lalu, kesemua 12 Mahkamah Rendah Syariah di negeri Selangor mula melaksanakan kes cerai 'Fast Track' dan berjaya menyelesaikan 308 kes dalam tempoh enam jam.